Kontroversi Centennial Olympics

Atlanta 1996 dikritik oleh ramai pihak disebabkan oleh masalah penyediaan makanan dan pengangkutannya.[13] Pada masa yang sama, ramai pihak berpandangan bahawa temasya ini telah diperdagangkan sehingga ke tahap yang terlampau oleh penaja-penaja Atlanta 1996 seperti Coca-Cola dan Nike yang menggunakan cara pengiklanan yang agresif dan teknik "pemasaran serang hendap" (Ambush marketing).[14][15][16]

Selain itu, serangan bom yang berlaku pada 27 Julai di Taman Olimpik Centennial telah menyebabkan dua orang mati dan 111 orang cedera. Bom tersebut ditemui oleh pegawai keselamatan, Richard Jewell. sebelum bom tersebut meletup dan beliau telah menghubungi pasukan keselamatan dan membantu memindahkan orang ramai ke kawasan yang selamat.[17] Namun, bom tersebut telah meletup sebelum semua orang berjaya melarikan diri.[18] Eric Rudolph telah dikenal pasti sebagai perancang serangan bom ini dan telah ditangkap pada 31 Mei 2003.[19] Rudolph telah mengakui bahawa dia yang merancang serangan tersebut atas sebab politik dan beliau telah diberi hukuman pemenjaraan seumur hidup.[20]